Friday, August 15, 2008

Gedombak

Gedombak adalah gendang dua muka iaitu 'compound hole' tetapi pada sebelah permukaan besar sahaja telah diregangkan dengan kulit dan pada permukaan satu lagi (ponget) dibiarkan terbuka. Ia berbentuk seperti piala iaitu 'goblet-shaped'. Baluhnya diperbuat daripada kayu jenis keras, lazimnya daripada kayu nangka ataupun angsana. Pada permukaannya diregang ataupun dirambing dengan belulang daripada kulit kambing sebagai bahan bunyi dengan menggunakan kaedah siratan tali rotan yang halus. Dalam konteks persembahan, ia disertakan secara berpasangan iaitu Ibu dan Anak dan dimainkan oleh dua orang pemain untuk mengiringi teater tradisional seperti Wayang Kulit dan Menora yang terdapat di Kelantan. Dalam ensemble Menora yang terdapat di Perlis, alat Gedombak juga disertakan secara berpasangan. Gedombak Ibu mampu menghasilkan pic suara yang lebih rendah daripada Anak tetapi mempunyai ukuran yang sama pada baluhnya. Dalam proses penalaan bunyi, kayu berbaji juga digunakan. Ia dipalu dengan sebelah tangan manakala tangan sebelah lagi digunakan untuk mengimbangi di antara suara-suara mnemonik iaitu 'doh', 'phat' dan 'ting' dengan melakukan kaedah buka dan tutup pada permukaan kecilnya yang sedia terbuka itu.

No comments: